SEGERA BUAT JANGAN BERTANGGUH LAGI
Firman ALLAH SWT Bermaksud : “ ALLAH yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
( Surah Ar Room : 54 )
ULASAN AYAT :
1) Kita hendaklah bersegera melakukan kebajikan sebelum datang bermacam cubaan dan dugaan yang menyekat dan meghalang kita dari menunaikan kebaikan.
2) Bencana, cubaan dan ujian pasti akan datang, dan setiap makhluk pasti mengalaminya mengikut tahap masing-masing. Oleh kerana itu, kita perlu bersegera melakukan kebaikan, kebajikan dan ketaatan tanpa bertangguh-tangguh.
3) Sesungguhnya apabila ujian datang, tidak ramai dikalangan manusia yang mampu menghadapinya dengan penuh redha. Ujian yang diturunkan bukan hanya pada mereka yang baik dan soleh, akan tetapi ujian juga akan menimpa kepada yang melakukan dosa, dan kesan daripada ujian itu bukan sahaja pada mereka yang ditimpa ujian malah di sekitarnya akan terkena imbasannya juga.
4) Keadaan hidup kita tidak akan selamanya tetap. Bumi berputar, hari silih berganti, masa berdetik pantas, maka keadaan kita juga turut mengalami perubahan. Hari ini kita menikmati kesenangan, mungkin esok kita bakal susah, saat ini kita dikurniakan kesihatan, mungkin esok kita jatuh sakit, detik ini kita bernyawa akan tetapi mungkin sebentar lagi ruh bakal berpisah daripada jasad. Ketika itu, kita sudah tidak berpeluang lagi untuk mengecapi nikmat melakukan kebaikan.
5) Kelalaian yang melanda kita menjadikan kita lupa dan bertunda daripada bersungguh melakukan amal. Sedangkan kita harus beringat bahawa keadaan kita kini tidak selamanya tetap. Kekuatan yang ada akan menjadi lemah, muda akan berubah menjadi tua dan seterusnya hinggalah dunia bertukar menjadi padang mahsyar.
6) Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa mengingati ALLAH SWT ketika senang mahupun susah, kita mesti melangkah seiring dengan amal soleh walaupun sedikit. Mereka yang cepat kembali kepada ALLAH adalah mereka yang beruntung, dan mereka yang masih bertangguh dalam melaksanakan amal soleh adalah dikalangan yang rugi lagi dirundung penyesalan yang tiada berguna lagi. WALLAHU’ALAM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 ulasan:
Catat Ulasan